22 August 2010

Saat Menunggu Kematian

Dia memang nampak sempurna dari semua segi. Dikurniakan wajah yang jelita, otak yang cerdas dan dilahirkan dalam keluarga yang berada. Sesiapa saja akan mencemburui nasib Azalea. Tutur kata yang lemah lembut dan tingkah laku yang sopan amat disenangi setiap orang. Azalea memang disenangi, ramah dan tidak sombong dengan kelebihan yang diamiliki.

Gadis itu nampak gembira sekali, bahkan dia bagaikan dicipta untuk hidup gembira saja. Tapi, siapa tahu? Gadis itu gadis yang sedang menunggu saat kematian yang muncul bila-bila masa. Dia di sahkan menghidap penyakit barah hati. Sampai sekarang dia menanti penderma yang sesuai. Tapi, hasilnya masih mengecewakan, sedangkan barah itu semakin menular. Kadang-kadang dia ingin seperti orang lain, biar tidak kaya, biar tidak bijak, biar tidak cantik, asalkan dirinya sihat. Dia menangis keseorangan. Hanya keluarga yang prihatin mendorongnya untuk terus hidup.

Dia takut sekali untuk memejamkan mata, takut lenanya tanpa jaga. Derita yang ditanggung amat menyakitkan. Ada kala dalam gelak air matanya mengalir. Dia takut sekali apabila tiba-tiba lintasan ajal dan dia dijemput menghadap Ilahitanpa sempat menyampaikan pesan kepada insan-insan tersayang.

Saat-saat yang dilalui seakan tiada makna. Dia betul-betul rasa buntu denganarah hidupnya. Di kampus dia menjalani hidup seperti kebiasaan. Dia seorang pelajar yang baik. Dia memang hebat di mata pensyarah-pensyarah dan kawan-kawan. Tapi, tidak bagi Amri, baginya, gadis itu terlalu sempurna. Dia harus mencari kelemahan gadis itu. Dia tidak senang apabila nama gadis itu sentiasa menjadi yang mendahuluinya dalam setiap perkara. Ada dendam yang harus dilangsaikan.

Azalea sendiri tidak mengerti dengan lelaki itu. apa yang dia buat serba tak kena di mata Amri. Dia tidak kenal sangat dengan lelaki itu, tapi dia senang sekali melihat wajah tenang jejaka itu. Tapi dia tidak tahu kenapa lelaki itu sering mahu berdebat dengannya. Ada-ada saja yang hendak dibantah. Wajah lelaki itu tetap tenang, walaupun kata-kata berbisa yang keluar dari mulut itu. Namun dia tahu lelaki itu baik kerana kawan-kawan tidak pernah berkata buruk tentang lelaki itu.

Amri mendapat idea untuk mendekatkan diri pada Azalea. Melalui risikannya daripada beberapa teman gadis itu, gadis itu mudah bersimpati. Dia harus mengambil peluang itu. Gadis itu harus menebus kesalahan ayahnya. Ayah gadis itu telah membunuh ibu bapaku, ayah gadis itu telah menyebabkan ibu bapanya terlibat dalam kemalangan maut.

" Assammualaikum.... Lama dah kita sekelas. Tapi..tak pernah berbualkan?" Amri memberanikan diri menyapa gadis itu. Dia berharap gadis itu sudi memanjangkan bicara. Dia perasan kekagetan wajah itu.

" Tak sudi ke?" Tanya Amri. Azalena terpana.

" Eh! Waalaikummussalam... hmmm..apa awak cakap tadi?" Tanya Azalea separuh sedar. Tidak menyangka lelaki itu akan menyapanya.

"Hmmm...saya cakap. Kita dah lama sekelas. Tapi tak pernah berbual. Boleh kita berbual sekejab? Sebagai kawan." Amri cuba membuatkan gadis itu selesa. Azalea tersenyum, dia membetulkan duduknya. Amri agak terpesona dengan senyuman itu. Betul kata kawan-kawan. Gadis itu memang sangat cantik. Dia cuba menghalau perasaan asing yang cuba menular. Dia mengingatkan diri tentang dendamnya.

" Oh....apa salahnya. Saya ingatkan awak tak suka kat saya." Ucap Azalea berterus terang. Amri sedikit terkejut, tapi dia kembali mengawal perasaannya. Gadis manis bertudung putih di depannya itu sukar sekali dibenci. Dia sudah berusaha untuk membenci, tapi ternyata tidak sedikit pun perasaan benci itu hinggap di hatinya. Yang ada hanyalah perasaan kurang senang dan dendam terhadap bapa Azalea.

" Awak ingat saya tak suka awak ke?" soal Amri. Azalea terdiam sebentar.

" Hmm...memang saya fikir macam tu. Yelah...kita selalu sangat berdebat. Saya minta maaf andai awak terasa." Balas Azalea. Dia meliarkan pandangan disekitar kantin itu. Rohani kawan rapatnya belum jugak muncul.

" Tak adalah.... Bukan saya tak suka. Tapi saya suka dengar awak membalas setiap patah perkara yang kita debatkan. Walaupun berdebat, suara awak tetap lembut. Saya suka dengar awak bercakap." Tanpa sedar Amri meluahkan sedikit rahsia hatinya. Dia tidak dapat menafikan yang dia suka mendengar suara gadis itu, lembut dan bersopan. Wajah Azalea merah.

" Boleh kita jadi kawan?" Tanya Amri melindung gugup. Dia takut sekali niat membalas dendamnya tersasar.

" Boleh..... Panggil saya Alea." Balas Azalea ramah.

" Saya... Amri, awak boleh panggil saya Am. Kalau nak panggil abang Am pun boleh." Amri cuba bergurau. Azalea tergelak. Amri sekali lagi tergamam, manis dan cantik sekali.

" Tak sangka awak ni suka bergurau." Azalea mula menyenangi kehadiran lelaki itu.

" Banyak yang awak tak tau tentang saya tau. Tak kenal maka tak cinta. Mana tau lepas kenal saya awak jatuh cinta. Ops..." Amri menutup mulutnya. Azalea tergelak lagi.

" Tak semudah itu saya jatuh cinta tau." Azalea menegaskan katanya sekadar membalas usikan Amri. Bukan dia tak nak jatuh cinta, tapi dia takut tidak mampu membalas cinta itu kerana hatinya makin lemah.

" Apa? Awak ada kanser? Cakap betul-betul Am, jangan main-main." Azalea terkejut mendengar berita yang disampaikan oleh Amri itu. Sukar dia hendak menerima semua itu menimpa sahabat baiknya. Sejak tiga bulan dulu, Amri menjadi sahabat baiknya. Walaupun masih ligat berdebat, tapi tutur kata tetap dijaga.

" Betul Alea. Dah lama dah saya sakit." Bohong Amri. Azalea sayu melihat wajah Amri, rupa-rupanya bukan aku seorang aje yang menunggu kematian. Dia pun, dia memang seorang yang tabah. Hanya aku yang seakan mengalah dengan penyakit ini.

" Saya tak sangka...awak pun ada penyakit berbahaya." Azalea sebak. Amri menyembunyikan senyuman, dia berjaya memancing simpati Azalea. Dia dapat melihat air mata berlinang di tebing kelopak mata gadis itu.

" Saya pun tak sangka pada mulanya. Tapi, bila doctor bagi tau, saya rasa dunia saya dah musnah. Saya sedih sangat. Awak nak ke berkawan dengan saya? Seorang yang sedang menunggu kematian yang entah tiba-tiba akan datang."Bohong Amri lagi. Azalea mengesat air matanya. Wajah itu ditatap penuh ikhlas.

" Saya akan tetap di sisi awak, walau macam mana pun keadaan awak. Kita sama-sama habiskan sisa hidup yang ada dengan bahagia." Tanpa sedar Azalea melafazkan kata-kata. Amri agak keliru dengan ayat terakhir Azalea. Sisa hidup?Tapi dia malas hendak berfikir panjang. Apa yang dia tahu dia gembira apabila Azalea betul-betul percaya kepadanya.

Azalea menghantar langkah Amri dengan air mata. Dia dapat melihat kepiluan dimata itu. Kita sama-sama menunggu kematian Am. Kita sama-sama akan habiskan sisa hidup bersama. Bisik hati Azalea.

" Kenapa ni nak? Alea sakit ke sayang? " Tanya Datin Naini, ibu kesayangan Azalea. Bawah mata sembab anaknya dipandang dengan hati yang tertanya-tanya. Dia memegang bahu anaknya lembut. Azalea memeluk tubuh kurus ibunya.

" Mak....dia pun macam Alea. Dia pun seorang yang menunggu kematian. Dia pun sakit..." sedu Azalea di bahu itu. Datin Naini tidak mengerti, dia hanya membiarkan anaknya meluahkan dulu apa yang disimpan. Sambil itu tangannya mengusap belakang anaknya dengan penuh sifat keibuan.

" Alea ingat... Alea je yang paling malang. Tapi, rupa-rupanya ada orang lain jugak yang menderita. Tapi dia sungguh tabah. Dia tak pernah nampak patah semangat macam Alea. Alea nak jadi macam dia." Tangis Azalea. Datin Naini menarik tangan anaknya lembut ke sofa. Mereka melabuhkan punggung di situ. Dia mengusap lembut kepala anaknya di pangkuan. Dia ingin tahu siapa gerangan yang diceritakan anaknya. Dia ingin mengucapkan terima kasih pada insan itu.

" Siapa tu nak?" Tanya Datin Naini sebak.

" Am mak... kawan Alea yang Alea cakap dulu. Dia sakit mak, tapi dia tak putus asa. Dia tabah." Beritahu Azalea diiringi esak tangisnya.

" Janganlah menangis sayang... mak nak anak mak tabah macam dia." Ucap Datin Naini. Azalea angguk perlahan, dia masih berbaring manja di pangkuan ibunya. Dia memang manja, biarpun nampak serius, namun keletah manjanya hanya tika dia bersama dengan keluarga kesayangan.

" Awak...awak dah makan ubat?" Amri tersentak dari menungan. Dia menoleh ke arah suara lembut itu. Dia teruja melihat senyuman manis Azalea. Bibirnya kaku untuk bersuara, entah mengapa dadanya berdebar semacam.

" Kenapa awak ni?" Tanya Azalea hairan. Dia mengambil tempat di sisi Amri. Amri diam, dia dapat menghidu wangian yang sering digunakan gadis itu walaupun jarak mereka agak jauh di kerusi panjang itu.

" Am..." panggil Azalea. Amri tersentak lagi.

" Awak... apa awak Tanya tadi?" Amri tersipu mengenangkan kelekaannya tadi. Wajahnya hangat apabila mendengar gelak halus di sisinya. Dia teruja lagi melihat tawa itu, gigi gadis itu tersusun kemas nampak indah bila ketawa.

" Awak berangan ya..." usik Azalea.

" Mana ada..." nafi Amri.

" Eleh...bohong...tadi tu apa? Tak dengar pun soalan saya." Azalea ingin mengusik lagi.

" Tadi tu saya berfikir..." balas Amri sambil tersengih. Azalea tergelak, Amri ikut sama gelak.

" Awak ni ada-ada je.. saya tanya tadi... awak dah makan ubat?" Tanya Azalea prihatin. Amri mengelabah.

" Dah...dah..sebelum ke sini tadi saya dah makan." Bohongnya, walaupun menyedari menipu itu berdosa, tapi dia bertekad untuk meneruskan jugak. Alang-alang menyeluk pekasam, biar sampai ke pangkal lengan.

" Hmmm...baguslah macam tu. Saya tak nak kawan saya sakit." Ucap Azalea. Dia menyatu jari jemarinya. Memang mereka selalu menghabiskan masa disitu, di taman bersebelahan dengan perumahan keluarga Azalea. Adik bongsu Azalea sentiasa menemani mereka, Azirul yang berusia 10 tahun sedang leka bermain buaian.

" Kawan je?" Tanya Amri berani. Giliran Azalea tersentak.

Apa maksud awak?" Tanya Azalea sedikit cuak. Dia takut, takut rahsia hatinya turut diketahui.

" Awak tak pernah ke..sayang kat saya?" Tanya Amri.

" Sayang....saya sayangkan awak sebagai kawan saya." Balas Azalea berpura-pura tenang. Amri tidak putus asa, misinya mesti berjaya.

" Saya nak kahwin dengan awak Alea. Saya tau saya tak layak, tapi saya cintakan awak. Saya nak awak jadi isteri saya." Luah Amri berani. Azalea tergamam. Dia terdiam.

" Alea....bagilah jawapan. Jangan membisu je.." Amri sedikit mendesak.

" Tak boleh Am.. kita tak boleh kahwin." Balas Azalea. Dia takut, saat dia berbahagia nanti dia tidak sampai hati untuk meninggalkan lelaki itu.

" Kenapa tak boleh? Kenapa? Kerana saya dah nak mati? Sebab itu awak tak nak pertaruhkan hidup dengan orang yang berpenyakit macam saya?" tegas Amri. Dia berdiri tegak. Azalea masih membisu. Bukan begitu Am, hatiku memang kuat mencintai kau, tapi... hatiku juga makin lemah untuk menjalankan fungsinya. Jerit hatinya. Tiada siapa tahu perasaannya melainkan yang Maha Esa.

" Tak payah cakap apa-apapun saya tau Alea. Awak memang tak sanggup nak hidup dengan orang yang dah nak mati macam saya." Amri melangkah ingin pergi dari situ. Azalea terpana, pantas tangannya mencapai lengan Amri. Nasib baik Amri menggunakan baju lengan panjang. Perlahan-lahan, Amri berpaling memandang Azalea. Dia terkejut melihat wajah itu sudah basah dengan air mata.Terasa ingin sekali dia mengesat air mata itu, tapi dia sedar batasan mereka. Dia rasa bersalah dengan penipuannya. Azalea turut melepaskan pergelangan tangan Amri.

" Am... awak tak faham. Saya pun gadis yang menunggu kematian. Am... saya tak kuat Am.. saya sayang awak. Tapi... keadaan tidak membenarkan saya menyempurnakan kehendak awak dan saya sendiri. Lagipun kita masih belajar. Am...maafkan saya." Ucap Azalea pantas berlalu meninggalkan Amri. Amri tergamam di situ, dia hanya memandang Azalea melangkah pergi sambil berpegangan tangan dengan Azirul. 'Gadis yang menunggu kematian?' apa maksud dia?

Amri terkejut apabila menerima panggilan daripada ibu Azalea memberitahu ingin berjumpa. Dia menerima pelawaan wanita itu. Seperti yang dipersetujui mereka bertemu di restoran Rasa Sedap. Dari jauh dia melihat wanita yang berusia separuh abad sambil ditemani Azirul, adik Azalea.

" Assalammualaikum mak cik..." sapa Amri.

" Waalaikummussalam.... Duduk Am.." balas Datin Naini sambil tersenyum ramah. Amri melabuhkan punggung sambil menundukkan sedikit kepala sebagai tanda hormat. Amri hanya memesan air tembikai, dia tidak berselera untuk makan. Dia hanya hendak mengetahui tujuan ibu Azalea itu menemuinya.

" Begini Am... Mak cik dapat tau Am dah melamar Alea untuk jadi isteri. Betulke? Am serius?" Tanya Datin Naini. Amri telan air liur." Betul mak cik. Saya memang nak dia jadi isteri saya. Saya tau saya tak layak, tapi saya sayang dia mak cik. Berilah saya peluang makcik." Ucap Amri berani. Datin Naini mengangguk-anggukkan kepala beberapa kali. Pesanan air tembikai Amri sudah sampai, Amri meneguk air beberapa kali. Terasa kering tekaknya.

" Tahu kenapa Alea menolak?" Tanya Datin Naini lagi. Amri menggelengkan kepala.

" Am... makcik memang tak halang kalau korang nak kahwin. Family kami okey.. cuma Alea. Dia rasa dia tak mampu bahagiakan Am nanti. Dia pun macam Am, dia sakit jugak Am. Selama ni dia pinjam semangat Am untuk teruskan hidup. Makcik pun nak ucapkan terima kasih kerana Am telah pulihkan semangat dia untuk hidup." Amri terpana mendengar kata-kata Datin Naini. Alea sakit? Sakit apa?

" Apa maksud mak cik?" Tanya Amri dengan debaran.

" Dia dah lama menghidap barah hati Am. Mak cik tau, memang dia tak pernah cakap kat kawan-kawan dia sebab dia tak nak orang susah hati. Tapi mak cik harap Am pun sudi terima dia." Amri tersandar di kerusi mendengar kenyataan itu. 'kita sama-sama habiskan sisa hidup kita'. 'saya gadis yang menunggu kematian'. Bagaikan terngiang-ngiang kata-kata Azalea dulu. Dia rasa bersalah sangat.

" Am tak tau mak cik... tapi... izinkan saya ambik dia sebagai isteri saya." Kali ini Amri benar-benar bertekad. Dia ikhlas untuk memperisterikan gadis itu, bukan untuk melunaskan dendamnya.

" Mak cik sentiasa merestui Am. Mak cik izinkan." Balas Datin Naini sebak. Dia ingin anaknya bahagia.

" Tapi....ada perkara saya nak terus terang kat mak cik. Saya harap makcik maafkan saya. Tentang perasaan saya terhadap Alea, saya tak tipu, saya memang cintakan dia." Amri ingin berterus terang. Datin Naini angguk. Amri menceritakan segalanya. Bermula dari rancangannya pada mulanya hendak membalas dendam, menjadi kawan kepada Azalea dan akhirnya jatuh cinta. Berkali-kali dia berjanji akan membahagiakan Azalea sebelum Datin Naini benar-benar yakin.

......................................................................................

" Saya cintakan awak.... banyak..." lafaz Amri ketika dia bersantai bersama isteri kesayangan di koridor chalet. Sudah 2 minggu mereka bergelar suami isteri, dan 3 hari yang lalu mereka sampai di situ untuk berbulan madu.

" Saya cintakan diri saya sendiri..." terbeliak mata Amri mendengar kata-kata isterinya. Dia memasamkan wajah melihat wajah nakal isterinya mengusik. Pantas dia menyambar tubuh isterinya. Azalea terjerit.

" Lepaslah...." Azalea menjerit kecil, dia memukul-mukul kecil lengan suaminya yang kemas dipinggangnya. Pelukan itu semakin erat, akhirnya dia hanya membiarkan tangan itu menyulami pinggangnya. Dia mencari wajah suaminya dibelakangnya.

" Alea cintakan abang tak?" Tanya Amri manja. Dia membelai rambut Azalea, sudah lama dia mengangankan untuk membelai rambut itu, akhirnya setelah menjadi suami isteri dia dapat jugak merasa nikmat itu. Hanya dia yang berhak berbuat begitu, hanya dia, kerana isterinya itu tidak akan membenarkan rambut itu dilihat lelaki bukan halal.

" Alea....cintakan diri sendiri aje...." Balas Alea lagi. Amri memuncungkan mulut.

" Malam ni abang tinggalkan Alea tidur sorang-sorang je. Biar Alea kena gigit hantu." Usik Amri. Azalea tertawa. Dia melentokkan kepala manja dibahu suami tercinta. Dia mengusap pipi Amri, Amri suka sekali dengan tingkahmanja Azalea. Bukan dibuat-buat, tapi spontan. Dia sendiri pun tidak menyangka gadis yang nampak serius seorang yang manja.

" Perlu ke Alea nak ucap yang Alea cintakan abang? Abang dah jadi sebahagian dari diri Alea, jadi... Alea cintakan abang seperti cinta pada diri sendiri. Alea cintakan abang kerana cinta abang terhadap yang Maha Esa. Alea cintakan abang kerana ketaqwaan abang terhadap Allah. Alea sentiasa berdoa agar cinta kita terhadap Allah melebihi cinta kita terhadap diri sendiri." LuahAzalea.

" Terima kasih kerana jadi isteri abang." Ucap Amri. Azalea hanya tersenyum sambil mengucup tangan suaminya. Amri insaf mendengar kata-kata isterinya. Dia begitu bersyukur bertemu jodoh dengan Azalea. Dia masih ingat betapa payah dia hendak meyakinkan Azalea menerimanya dulu. Dia masih ingat esak tangis gadis memberitahu yang dia gadis yang menunggu kematian.

" Abang... Alea rasa tak sihat..." adu Azalea selepas mereka solat subuh berjemaah pagi itu. Amri pantas meraba dahi isterinya. Dia risau apabila merasa kehangatan di situ.

" Alea dah makan ubat?" Tanya Amri.

" Dah..." balas Azalea. Amri menarik tangan isterinya lembut dan membaringkan tubuh itu ke tilam.

" Meh sini abang picit ye.... Pukul 9 nanti abang bawa pergi klinik."Amri memicit lembut dahi isteri tercinta.

" Kita kan ada kuliah nanti." Balas Azalea.

" Alah....kita ponteng sekali ni aje. Lagipun Alea tak sihat, nanti minta MC dari doctor." Ucap Amri, jemarinya masih memicit lembut dahi itu. Lagipun hanya tinggal sebulan lagi mereka menjadi pelajar.

" Alea je yang dapat MC tau.." Azalea tergelak. Amri turut tergelak. Azalea memejamkan mata mengusir rasa pening. Dia akhirnya terlelap.

Selepas menjalankan pemeriksaan Azalea duduk di sisi suaminya di depan meja doctor. Doctor Nur tersenyum pada pasangan suami isteri muda itu. Dia membelek kertas di tangannya

" Tahniah... you berdua bakal jadi ibu dan ayah." Doctor Nur menghulurkan tangan pada Azalea. Teragak-agak Azalea menyambut, dia tergamam. Amri di sebelah bagaikan hendak menjerit kegembiraan. Wajahnya berseri.

" Berapa bulan doctor?" Tanya Amri gembira, tangan isterinya digengam erat.

" Baru masuk lapan minggu. Hmm...jaga wife you baik-baik tau.Lagipun..kesihatan dia pun tak berapa baik jugak." Pesan doctor Nur. Azalea hanya terdiam.

Azalea hanya membisu sejak dari tadi. Tidak sepatah pun bersuara, Amri perasan perubahan isterinya.

" Kenapa ni sayang? Alea tak bahagia, tak lama lagi kita akan jadi ayah dan ibu?" Tanya Amri sebaik mereka keluar dari bilik doctor Nur.

" Abang...abang tak ingat ke keadaan kita? Kita mungkin tak dapat hidup lama bang....macam mana dengan anak kita nanti? Mereka akan kehilangan kita. Ataupun...Alea akan pergi sebelum sempat melahirkan baby ni.." luah Azalea. Dia mengusap perutnya yang masih kempis. Ibu sayangkan baby... maafkan ibu...

Amri memeluk isterinya. Dia mengerti kenapa isterinya begitu.

" Alea kena ingat... Allah yang menentukan segalanya. Allah memang nak bagi baby ni untuk kita sebagai bukti cinta kita." Pujuk Amri. Azalea hanya angguk.

" Kita berserah pada Allah...kita jangan terlalu cepat berputus asa. Alea kena jaga diri dan baby tau. Terima kasih kerana kandungkan zuriat abang.... Abang cintakan Alea." Ucap Amri.

" I love you too."

" I love you three.." balas Amri nakal. Azalea tergelak bahagia.

" Syukurlah.... Alea nampak sihat je.." Datin Naini tersenyum bahagia melihat anaknya yang sedang sarat mengandung dengan jubah konvokesyen. Mereka bergambar kenang-kenangan bersama keluarga dan kawan-kawan. Teruk jugak Amri dan Azalea di usik teman-teman yang nakal.

Datin Naini memimpin tangan Azalea duduk di bangku panjang. Amri mengambil gambar isterinya berkali-kali.

" Mak...jaga anak Alea nanti ye... kalau Alea tak sempat tengok dia besar. Mak kena tolong abang Am jagakan anak kami. Mak bawakan dia lawat Alea nanti. Mak kena janji ya... mak kena cakap kat anak kami, yang Alea sangat sayangkan mereka." Datin Naini terpana mendengar permintaan anaknya. Dia menangis memeluk anaknya.

" Jangan cakap macam tu nak... kita jaga sama-sama." Balas Datin Naini.Datuk Azrul dan Amri yang memandang kelakuan dua beranak itu menahan sebak.Tiada lagi dendam Amri terhadap Datuk Azrul kerana rupa-rupanya Datuk Azrul telah menebus kesalahan dengan menanggung segala perbelanjaannya dulu. Dia pun baru tahu setelah mak usunya menceritakan hal sebenar. Lagipun menurut makusunya, kemalangan itu memang tidak disengajakan.

" Cakap kat abang Am... kalau anak-anak ni kembar perempuan namakan dia Alia Balqis dan Anisa Balqis. Dan kalau dua-dua lelaki Arief Amsyar dan Arief Ammar." Pesan Azalea lagi. Datin Naini gagal bersuara kerana menahan tangis. Datuk Azrul dan Amri menghampiri mereka.

" Kenapa ni?" Tanya Datuk Azrul lembut, penuh dengan naluri kebapaan.

" Tak ada apa-apa abah...." Balas Azalea.

Amri menghampiri katil yang menempatkan tubuh isterinya. Wajah pucat itudi pandang dengan rasa cinta yang tak berbelah bagi. Tangan itu dikucup penuh kasih sayang. Ibu kepada sepasang anak kembarnya itu masih nampak cantik walaupun terlantar di situ.

" Abang..... Arief dengan Balqis mana?" Tanya Azalea. Amri duduk disisi katil, dahi itu dikucup lama.

" Mereka kat dalam bilik baby. Terima kasih sayang...anak-anak kita comel.Muka sebijik macam ibu mereka." Amri tersenyum manis.

" Abang.... Alea nak tengok Arief dengan Balqis... boleh abang bawa kesini?" pohon Azalea penuh berharap. Amri angguk, pantas berlalu ke bilik bayi. Dia kembali ke situ bersama ibu bapa Azalea yang mendukung anak-anaknya. Amri membantu Azalea duduk dan menyandarkan tubuh isterinya ke dadanya. Mereka menyambut anak-anak mereka dari ibu bapa Azalea.

" Anak ibu...." Bisik Azalea pada dua bayi di depannya. Balqis dipangkuannya dan Arief di pangkuan suaminya. Datuk Azrul dan Datin Naini meninggalkan pasangan itu. Azalea tertawa melihat wajah comel anak-anaknya. Selepas itu Arief pulak beralih ke pangkuannya, Balqis diserahkan kepada Amri. Wajah Arief dan Balqis dicium bertalu-talu tanpa jemu.

" Abang jaga anak kita tau. Alea tak mampu nak tengok anak-anak kita membesar. Alea tau mereka selamat di sisi ayah mereka. Kalau abang nak cari suri lain untuk ganti Alea pun, Alea tak kisah bang. Alea rasa, Alea tak mampu nak jaga abang dengan anak-anak." pesan Azalea. Amri sebak.

" Alea..abang ada rahsia nak cakap. Abang sebenarnya..tak"

" Tak sakit kan?" teka Azalea. Amri tergamam, macam mana Alea tahu?

" Macam mana... Alea.. tau?"

" Alea tak pernah tengok abang makan ubat sejak kita jadi suami isteri." Balas Azalea.

" Maafkan abang sayang. Abang terlalu cintakan Alea. Dulu memang abang nak berterus terang, tapi abang takut Alea tak terima abang. Mak pun tak bagi abang cakap kat Alea." Pohon Amri. Ubun-ubun isterinya dikucup.

" Alea tak kisah bang. Alea tak salahkan abang. Abang telah bahagiakan Alea sepanjang kita jadi suami isteri. Abang kena janji akan jaga anak kita baik-baik tau. Alea cintakan abang..." ucap Azalea. Air mata Amri mengalir.

..........................................................................................

" Ayah...." Amri tersentak mendengar suara anak gadisnya memanggilnya. Selepas itu dia terasa tubuhnya dipeluk erat oleh jejaka di sebelah. Kemudian gadis yang seiras arwah isterinya memeluknya.

" Ayah....jom kita balik. Esok kita pergi ziarah pusara ibu lagi." ajak suara garau anak terunanya. Mereka bertiga berjalan berpelukan menuju ke kereta. Amri menoleh ke pusara arwah isterinya. Selamat tinggal sayang.... semoga Alea ditempatkan di kalangan muslimin muslimah yang soleh. Kau lah isteriku yang solehah. Tak jemu melayan kerenah suamimu ini dan sudi melahirkan zuariat suamimu ini.

Amri duduk di tempat bersebelahan pemandu. Arief Amsyar yang telah berusia 23tahun memandu, Alia Balqis duduk di tempat duduk belakang. Amri sentiasa memperkenalkan anak-anaknya kepada kemurnian perketi arwah ibu mereka. Dia boleh berbangga kini, kerana anak-anaknya membesar menjadi anak-anak yang taat dan berjaya dalam pelajaran.

Amri menatap gambar wajah isteri yang amat dirindui yang amat dia kasihi...

Sayang.... anak-anak kita dah besar... mereka anak yang baik. Seperti ibu mereka. Abang tak pernah menduakan kasih Alea kerana tidak ada wanita lain yang layak menjadi isteri abang dan ibu kepada anak-anak kita selain Alea. Abang rindukan Alea. Abang tak pernah lupa mencintai Allah melebihi cinta terhadap makhluk ciptaan-Nya. Abang selalu bersyukur kerana Allah telah mengurniakan Alea untuk abang cintai.

" Ayah....Balqis rindukan arwah ibu.." sebak Balqis bersuara. Amri menoleh ke belakang, wajah kerinduan itu direnung. Selepas itu dia berpaling ke sebelah, seperti Balqis, wajah Arief jugak sarat dengan kerinduan terhadap arwah ibu yang tidak sempat membesarkan mereka. Azalea pergi selepas seminggu melahirkan mereka. Amri masih ingat hari terakhir isterinya bersama mereka. Dia dapat merasakan sesuatu melihat cara renungan Azalea. Azalea sempat memohon maaf dan memintanya menghalalkan segalanya. Hari itu memang aneh, Arief dan Balqis yang baru berusia seminggu masa itu tidak banyak kerenah.

Tersenyum dan tergelak suka apabila dibelai Azalea. Azalea menyandar di dada Amri sambil memeluk anak-anaknya erat. Amri sempat mendengar bisikan syahadah sebelum dada isterinya tidak lagi berombak. Arief dan Balqis tiba-tiba menangis. Dia sendiri masa itu hanya mampu memeluk isterinya erat bersama anak-anak mereka. Dia hanya melepaskan isterinya apabila abah Azalea menariknya perlahan. Air matanya berlinang, dibiar lepas. Anak-anaknya beralih ke dalam pelukan seorang jururawat dan emak Azalea. Dia merebahkan tubuh isterinya kekatil dengan hati-hati. Dia mengucup dahi isterinya. Dia dapat mengesan bekas air mata dipipi isterinya. Dia tahu, terlalu berat hati isterinya meninggalkannya bersama anak-anak yang masih terlalu kecil.

" Mesti arwah ibu pun rindukan kitakan ayah." Celah Arief.

" Percayalah sayang.... Arwah ibu jugak rindukan kamu berdua. Arwah ibu seorang yang penyayang. Nanti kita akan berkumpul bersama. Jadilah anak yang soleh." Pesan Amri. Arief dan Balqis angguk.

" Kami janji, kami akan jadi anak yang baik ayah.. kami sentiasa berdoa untuk kesejahteraan ayah dan arwah ibu." Ucap Arief. Amri amat bangga dengan sikap tanggungjawab anak terunanya itu.

" Arief nanti jaga adik tau. Nek usu, Tok abah dengan tok mak pun kena jaga tau. Dengar cakap mereka. " Pesan Amri. Dia rasa mengantuk yang amat sangat.

" Ya Allah... hanya Kau berhak disembah. Nabi Muhammad pesuruh Allah." Bisiknya sebelum memejam mata.

Arief Amsyar memeluk bahu Alia Balqis memandang pusara arwah ibu dan arwah ayahnya. Doa dikirim untuk insan-insan kesayangan itu. Mereka redha pemergian arwah ayahnya sudah ditakdirkan. Arwah ayahnya pergi kerana seruan Ilahi dan rindu kepada arwah ibu. 'Ya Allah ya Tuhanku, tempatkanlah ayah dan ibu kami di kalangan muslimin muslimah yang soleh. Ayah.. kami membesar dalam dakapan kasih sayangmu, ibu... kami hidup di bawah naungan kasihmu. Terima kasih kerana melahirkan kami. Kami bersyukur menjadi anak-anak kalian.' Bisik pasangan kembar itu.

Sekian.

Nafas Terakhir Di Bulan Ramadan

Hujan renyai-renyai di pagi itu membuatkan Shila berlari-lari anak pulang ke rumahnya. Memang menjadi kebiasaan Shila untuk bersiar-siar ditaman di hadapan rumahnya mencari tenang di hati seusai solat subuh. Shila kini bukan lagi seperti Shila yang dulu. Baru beberapa bulan Shila tekad menjalani kehidupan sebagai muslim sepenuh masa. Sebelum ini Shila tidak kenal erti solat. Telekung untuk solat pun berhabuk dalam almari rumahnya. Terakhir dia menyentuh telekung itu adalah saat-saat dia diijab kabul dengan suaminya 4 tahun lalu. Itupun telekung itu hanya menjadi hantaran perkahwinan semata-mata. Dan beberapa bulan lepas, Shila tekad 'menyentuh' kembali telekung yang disimpan rapi dalam almari rumahnya.

Hatinya sayu. Sampai dirumah, Shila lantas membuka peti sejuk rumahnya dan mencapai air mineral sebagai penghilang dahaga. Saat-saat menuang air ke dalam gelas, matanya terpandang kalendar didinding rumahnya.

" Hari ini 23 Sya'ban." Monolog hatinya.

" Maknanya lagi 7 hari la nak masuk Ramadhan." Hati kecil wanita itu sambung bermonolog.

Tiba- tiba hatinya menjadi semakin sayu. Bimbang adakah masih ada harapan untuk dia bernafas di 1 Ramadhan kali ini. Orang lain mungkin punya sebab tersendiri mengapa tidak sabar menanti Ramadhan saban tahun. Namun bagi Shila, dia mungkin satu antara seribu muslim yang punya alasan tersendiri mengapa hati sayu menanti Ramadhan kali ini. Ramadhan kali ini paling dinanti Shila kerana ini Ramadhan pertama yang mungkin akan memberi makna kepada Shila.

Ramadhan Shila dulu..............

Dulu Shila macam tak pernah melalui Ramadhan. Dibesarkan dalam keluarga yang berada dan menjalani kehidupan bersama keluarga di negara barat membuatkan kehidupannya tidak ubah seperti kehidupan masyarakat kulit putih disana. Entah bila Ramadhan, entah bila pula Syawalnya tidak pernah dia ambil kisah. Nak menjalani ibadah puasa, jauh sekali. Dalam sehari arak pun tidak boleh lekang dari diteguknya. Ahli keluarga pun tidak ada yang puasa, malah daddy Shila sebagai ketua keluarga pun tidak pernah ajar cara berpuasa.

Malah, Shila juga pernah mencabar rakan islamnya yang berpuasa dengan makan didepan mereka tanpa rasa bersalah.

Suami Shila..........

Shila nekad mengahwini teman lelakinya. Namun kehidupan Shila nyata tiada perubahannya lantaran suaminya juga kaki mabuk, kaki wanita dan tiada masa membimbing isteri ke jalan yang benar. Masuk Islam pun sebab mahu berkahwin dengan Shila. Gaya hidup tetap sama dengan masyarakat kulit putih disekeliling mereka.

Takdir meletakkan mereka hanya boleh bersama selama setahun kerana suaminya meninggal dunia akibat mengambil dadah berlebihan.

Solat Shila......

Shila tahu apa itu solat. Malah seringkali melihat rakan Islamnya berjemaah di universiti tempat dia belajar. Namun tidak pernah pula Shila cuba melaksanakan amalan wajib bagi umat Islam itu. Kadang-kadang Shila hairan melihat rakan islamnya yang tenang saja saat masalah melanda. Musim-musim peperiksaan juga dilalui dengan tenang sedangkan Shila, masih lagi terkontang kanting minum arak setiap malam musim peperiksaan akibat tekanan yang dirasakan. Baginya tiadalah yang boleh menghilangkan tekanan melainkan diteguk air haram itu.

Suatu malam, Shila bertanya kepada rakan islamnya, Aida ( bukan nama sebenar);

" Mengapa saya lihat kamu tenang sahaja walaupun esok kita ada exam yang semua orang tahu susah." Tanya Shila dalam bahasa Melayu walaupun bahasa melayunya sudah tidak seperti orang-orang melayu lain.

" Bertenang saja hadapi kehidupan. Kerana kita ada tempat mengadu. Waktu belajar kita belajar bersungguh-sungguh. Waktu beribadat, kita beribadat bersungguh-sungguh. InsyaAllah Shila, kita kan ada tempat mengadu. Dia sentiasa setia mendengar doa rintihan kita" Jawab.

" Siapa dia?" Shila mula kehairanan.

" Allah s.w.t." Kata Aida sambil menutup naskhah al-quran yang sedang dibacanya.

" Siapa tu? Tak kenal pun." Tanya Shila lagi.

" Tak kenal?." Aida bertanya kembali dengan riak sedikit terkejut diwajahnya.

Memang agak mengejutkan wanita Islam berusia 20-an tidak mengenal Allah s.w.t. Tapi itulah hakikat kehidupan Shila. Bukan salah diri yang tidak tahu, mungkin ibubapa Shila tidak pernah mengajar Shila tentang itu. Sememangnya sedih apabila Shila ditakdirkan membesar dalam keluarga yang longgar pegangan agamanya. Ayahnya orang melayu, memilih berkahwin dengan wanita yang berlainan bangsa dan agama. Malah, selepas berkahwin, ayahnya pula hanyut dan terikut-ikut budaya ibunya. Membuatkan ayahnya lupa tentang solat, puasa, zakat, apatah lagi ibadah haji.

"Allah itu Pencipta kita. Kalau Allah tidak mengizinkan kita hidup dimuka bumi ini, tiadalah kita disini. Dan kalau awak baca dan faham isi kandungan al-quran. Segalanya terasa mudah apabila kita menjalani kehidupan berteraskan kitab suci ini." Terang Aida sambil menunjukkan naskhah al-quran yang dipegangnya.

Shila tertunduk. Berfikir sejenak. Mungkin dia bicara dalam hatinya.

" Kalau saya ada masalah, saya pun ada cara saya untuk tenang. Saya minum arak. Lepas tu rasa semuanya hilang. Saya dalam dunia saya." Kata Shila.

" Lepas minum air tu, adakah masalah awak hilang dan selesai?" Aida menguji.

" Hilang sekejap. Bila saya bangun esok pagi, saya kembali berfikir tentang masalah itu. Maknanya masalah saya tak selesai pun sebenarnya." Shila menjawab sambil membelek-belek telekung yang dipakai Aida.

"Kalau cara saya ini. Masalah selesai dan hati pun tenang. Sebab saya mengadu kepada pencipta kita, Allah. Allah yang mencipta kita. Dia tahu semuanya pasal kita. Allah tahu apa yang kita mampu hadapi. Allah tahu juga apa yang kita tak mampu hadapi. Sebab itulah, bila mana sesuatu berlaku kepada saya, saya rasa Allah menguji saya kerana saya mampu." Kata Aida lagi.

Perbualan malam itu berakhir disitu. Ada sesuatu yang melekat dalam hati Shila. Sejak itu Shila sering berdamping dengan Aida. Kagum benar dia dengan wanita islam bernama Aida itu. Pakaiannya menutup aurat. Gaya percakapannya lemah lembut. Alunan bacaan al-qurannya sedap didengar. Solatnya penuh teratur dan dilakukan seusai masuk saja waktu solat. Segalanya dilalui dengan tenang. Saat-saat rakan lain tertekan belajar diwaktu peperiksaan, Aida masih kelihatan tenang. Waktu belajar dia belajar, waktu solat tidak pernah sekalipun diabaikan. Dan yang nyata, Aida sering mendapat keputusan yang amat baik dalam peperiksaan. Itu menambahkan lagi keyakinan Shila untuk mendampingi insan bernama Aida ini.

Satu persatu hukum Islam dipelajari. Shila banyak belajar dari Aida. Belajar tentang apa erti kalimah syahadah. Apa erti dia lahir sebagai Islam. Apa erti solat. Apa erti berdoa. Aida nyata gembira dengan perkembangan Shila. Walaupun Shila terpaksa belajar mengaji bermula dengan membaca iqra', namun bacaannya seringkali menunjukkan peningkatan. Aida pua tidak pernah rasa jemu mengajar Shila kembali mengenal fitrah manusia dan mngajak Shila menjalani kehidupan bertuhan....

3 januari 2009 merupakan hari paling bermakna dalam kehidupan Shila apabila dia bertekad menjalani kehidupan sebagai muslimah sejati. Tiada lagi warna dirambutnya. Kini rambut itu tertutup rapi dengan tudung-tudung yang baru dibelinya. Telekung yang berhabuk dalam almarinya kini tidak lagi terlipat kemas dalam almarinya. Kini telekung itu yang disarung lima kali sehari. Kini telekung itu yang disarungnya saat diri tertekan tandanya kini apa jua masalah yang dihadapinya, segalanya diadukan kepada Allah dalam sujudnya.

Shila bertekad pulang ke Malaysia selepas tamat pengajiannya di US. Kini, Shila hidup sendirian. Namun tidak pernah pula dirasakan sunyi kerana dia ada Allah yang sentiasa bersamanya. Bulan berganti bulan, kini shila menghitung hari menanti detik datangnya Ramadhan. Kerana dia rindu untuk berpuasa dibulan mulia itu. Dia tidak sabar memulakan ibadah puasa yang sebenarnya. Dia tidak sabar untuk bersahur, berbuka puasa, solat terawih seperti yang diajarkan oleh Aida suatu ketika dahulu. Dia tidak sabar lagi merasakan nikmatnya menahan nafsu dari melakukan perkara-perkara yang biasa dilakukan.

Laungan azan dari masjid disebelah rumah Shila mengejutkan Shila dari lamunan panjangnya. Sudah zohor rupanya. Lantas Shila mempersiapkan diri dan bergerak menuju ke masjid. Itulah Shila sekarang. Walaupun bertugas sebagai akauntan di sebuah syarikat korporat dan punya gaji lumayan, namun apa yang dirasakan adalah semua itu tidak mampu dikecapi tanpa izin Allah s.w.t. Shila nekad membeli rumah berhampiran masjid untuk memudahkan urusan ibadahnya dijalankan di masjid itu. Dan baginya laungan azan yang didengari saban waktu itu juga menjadi motivasi untuknya mengingat waktu—waktu untuk tunduk menghadap Pencipta.

Masa terus berlalu. Dan kini sudah 29 Sya'ban. Walaupun sebelum ini sudah berkali-kali melatih diri berpusa, menggantikan puasa-puasa yang ditinggalkan semasa zaman jahiliahnya, namun ia tidak akan sama dengan nikmat berpuasa di bulan Ramadhan.

" Esok puasa. Kalau ajak Aida iftar dirumah elok juga ni ." Shila bermonolog lagi dan mencapai kunci kereta Nissan Murano miliknya dan menuju ke supermarket untuk membeli keperluan bersahur dan berbuka puasa.

Takdir mengizinkan Shila melalui terawih pertama dan nikmat bersahur di malam pertama Ramadhan. Dan Shila juga gembira berbuka puasa bersama Aida.

" Siap-siap la, nanti kita nak pergi solat isyak dan terawih di masjid sebelah." Kata Shila seusai mereka solat maghrib berjemaah di rumah Shila.

" Elok juga tu, jom Shila." Kata Aida sambil melipat telekung dan memasukkannya ke dalam beg.

" Aida, sebenarnya saya gembira sangat dapat rasai nikmat sebenar berpuasa di bulan Ramadhan. Kalau saya mati sekarang pun mungkin boleh tersenyum sebab impian bernafas di satu Ramadhan dimakbulkan Allah. Dan yang lebih mengembirakan saya, hari ini saya dapat berbuka puasa dengan sahabat yang amat saya sayang." Kata Shila ketika dia melipat telekungnya.

" Jangan cakap macam tu. InsyaAllah bertemu lagi Ramadhan tahun depan." Aida mengusap-usap kepala Shila.

" Saya masuk bilik kejap ambil al-quran saya ye." Kata Shila sambil melangkah ke biliknya.

Tiba-tiba kedengaran bunyi kuat dari dalam bilik Shila. Aida terus berlari melihat apa yang sedang berlaku. Lemah longlai lutut Aida saat-saat melihat badan Shila terbujur dengan darah keluar dari hidung dan telinganya. Apakah lagi yang mampu dilakukan selain berdoa memohon ditenangkan hatinya menghadapi situasi itu. Lantas tangan Aida mencapai telefon bimbitnya dan membuat panggilan kecemasan ke hospital.

Dan lemah longlai sekali lagi badan Aida saat-saat melihat doktor keluar dari bilik pembedahan dan jururawat di belakang sedang menarik kain menutup muka Shila yang terbaring di katil. Apakah sudah tiba saat-saat yang paling tidak diingini dalam hidupnya. Aida tunduk beristighfar bimbang air mata yang turun ke pipi itu adalah air mata yang tidak redha dengan pemergian rakan baiknya itu.

" Kawan saya sakit apa doktor?" Aida bertanya ingin tahu.

" Kawan awak tak ada cerita apa-apa ke pasal penyakit dia?" Doktor tanya Aida kembali.

" Tak ada pula." Jawab Aida ringkas.

" Sebenarnya jantung kawan awak sudah lama lemah berfungsi kerana kandungan alkohol yang berlebihan dalam jantung. Mungkin dia terlebih mengambil alkohol diusia muda menyebabkan jantungnya menjadi lemah. Mengikut jangkaan, dia hanya mampu hidup sehingga minggu lepas sahaja tetapi Allah masih memanjangkan usianya hingga ke hari ini." Terang doktor itu panjang lebar.

" Subhanallah. Mungkin Allah ingin pertemukan Shila dengan Ramadhan. Shila kuat berdoa supaya disampaikan kepada Ramadhan. Mungkin satu hari di bulan Ramadhan yang Shila lalui ini sudah cukup bermakna buat dirinya." Aida bermonolog.

Yang mesti diterima dengan redha sekarang, Shila hanya diizinkan bernafas selama 29 tahun saja dalam hidupnya. Shila hanya mampu melalui sekali sahaja nikmat bersahur, menahan lapar, berbuka puasa dan nikmat berterawih. mungkin tahun 2009 itulah kali pertama dan terakhir Shila merasai nikmat Ramadhan yang sebenar.

Moral:

Ajal maut tidak mengenal usia.. segala perbuatan kita ada pembalasannya. Jika baik maka baiklah balasannya dan begitu juga sebaliknya. Pintu taubat sentiasa terbuka untuk hamba Allah yang ingin benar-benar bertaubat.

Sabda Rasullah s.a.w:

"Apabila tibanya Ramadan dibukakan pintu-pintu syurga, maka tertutuplah pintu-pintu neraka dan syaitan-syaitan dibelenggu"

(hadis riwayat Imam Bukhari dan Imam Muslim)

Keterangan ayat:

Apa yang dimaksudkan dalam hadis di atas dengan "pintu-pintu syurga dibuka" pada bulan ini ialah tawaran ganjaran yang berlipat kali ganda bagi mereka yang beribadah sebagai galakan agar sentiasa meningkatkan amalan di dalam bulan Ramadan. Maksud "pintu-pintu neraka ditutup dan syaitan dibelenggu" adalah kerana naluri keinginan syahwat bagi mereka yang beriman akan berkurangan dan menyebabkan maksiat di kalangan mereka pun berkurangan kerana syaitan tidak mampu menghasut mereka. Ini menjadi pendinding dari dihumbankan ke dalam api neraka.

SEMOGA SEPANJANG HAYAT INI KITA SENTIASA DIPERTEMUKAN DENGAN RAMADHAN.

Jangan Tinggalkan Aku Ramadan

Najwa melangkah longlai menuju ke kampus. Bukan kerana penat tubuhnya, tetapi terasa jiwanya ada sesuatu yang tidak kena. Najwa terasakan dirinya ibarat belon yang tak cukup udara, tekanan atmosfera luar yang lebih tinggi memenyekkan belon itu. Ramadhan telah berlalu, separuh daripadanya. Najwa mengkontemplasi saat-saat lepas di dalam Ramadhannya kali ini, apakah yang telah dicapainya. Ditakdirkan Allah, assignment di universiti sangatlah banyak, yang kadang-kadang dia tidak mampu untuk iltizam dengan tilawah Al-Quran 1 juzuk sehari. Mahu ingin berlama-lama di atas sejadah, tetapi discussion di sana sini. MP3 player berisi bacaan ayat-ayat Al Quran oleh Sheikh Mishari al Efasy menjadi peneman jiwanya yang terasa kosong.

"Ya Allah, jangan jadikan aku orang yang mensia-siakan bulan barakah ini..." Najwa mengeluh sendirian.

Penat juga dia mengenangkan, kenapa pula kelopak matanya tersangat kering. Dia juga letih mengenangkan, kenapa apabila dia membaca kalamullah tidak tersentuh jiwanya. Najwa teringat surah Al Anfal ayat 2:

"Sesungguhnya orang-orang yang beriman itu adalah apabila disebut nama Allah, bergementarlah hati mereka, dan apabila dibacakan kepada mereka ayat-ayatNya, bertambahlah iman mereka dan kepada Tuhan mereka sahajalah mereka bertawakal."

Najwa mengulangi doa yang diajarkan Rasulullah SAW.

"Ya Allah, hanya rahmatMu yang aku harapkan. Jangan tinggalkan aku sendirian walau dengan kadar sekelip mata. Perbetulkan segala urusanku. Laa ilaha illa anta (Tiada Tuhan selain engkau)" Riwayat Abu Dawud, Ahmad.

Najwa singgah duduk di satu "bench" di bawah pokok. Musim bunga kali ini dirasakan tidak membunga-bungakan iman di dalam hatinya.

"Ya Allah, hanya rahmatMu yang aku harapkan". Dalam Najwa mengulangi doanya itu, tiba-tiba terdetik di dalam hatinya: Benar-benarkah hanya rahmat Allah yang dia harapkan?

Benarkah hanya kepada Allah dia berharap, benarkah dia berharap Allah mengiringinya di dalam setiap urusannya?

Najwa teringat suatu peristiwa, semasa Najwa mengajak beberapa juniornya untuk mengikuti halaqah mingguan. Dia terasa sangat "excited" kerana nampak wajah-wajah baru yang ingin mendekatkan diri kepada Allah. Pada hari tersebut, Najwa dipertanggungjawabkan untuk menyampaikan tazkirah. Usai tazkirah tersebut, Siti, salah seorang juniornya berkata kepadanya, "Best la tazkirah kak Najwa..."

Najwa terasakan dadanya kembang keseronokan.

Najwa tersentak... Kelopak bunga spesis Rhododendron berterbangan ditiup angin.

"Oh...di situlah silapnya...Benarkah aku hanya mengharapkan rahmat Allah dari amal yang aku perbuatkan? Rupa-rupanya, aku masih seronok dengan pujian. Sedangkan aku tak tahu, sama ada amal itu masih diterima Allah atau tidak...Ya Allah, benar-benar kali ini.. Hanya rahmat Engkau sahaja yang aku harapkan...Lebih baik sekiranya manusia benci aku atas usaha aku, asalkan Engkau tidak marah kepadaku."

Najwa mengenangkan, rahmat Allah sudah semestinya tersangat besar.

Allah, Dialah Tuhan yang telah menyelamatkan Najwa daripada lemas di dalam paya busuk jahiliyah. Allah, Dialah Tuhan yang telah melahirkan perasaan malu dalam dirinya, lalu perasaan malu itu menyelamatkan Najwa dari ikhtilat (percampuran bebas lelaki dan perempuan), lalu dengan perasaan malu itu, pakaiannya semakin sopan menepati ciri-ciri muslimah. Allah, Dialah Tuhan yang telah memilihkan teman-teman seperjuangan yang saling memperingatkan kepada kesabaran, keimanan dan mengajak kepada amalan soleh.

Najwa teringat lagi, apabila dia sibuk mengendalikan program-program islami semasa cuti musim bunga. Masya-Allah, Allah telah beri dia keizinan untuk berlari ke sana ke mari, kelam kabut, berpenat-penatan untuk memikul tugasan dakwah. Allah telah beri peluang untuk dia mujahadah. Tapi, dia kelam kabut dalam solatnya kerana ingin mengejar urusan "dakwah"nya. Dia tidak dapat iltizam dengan tilawah Al Qurannya. Dia tidak sempat berhenti seketika untuk muhasabah amalan-amalannya. Tiba-tiba Najwa tersentak lagi...

"Mengapakah kamu suruh orang lain mengerjakan amal kebaikan, sedang kamu melupakan diri sendiri, padahal kamu membaca Al Kitab? Maka tidakkah kamu berfikir?"

Najwa teringat Surah Al Baqarah ayat 44, ya benar...Dia telah melupakan dirinya sendiri. "Ya Allah, benar-benar kali ini.. aku mengharapkan Mu jangan tinggalkan aku bersendirian bersama urusan-urusanku... walau pada kadar sekelip mata." Najwa berharap.

Sesungguhnya manusia itu pelupa sifatnya. Manusia zalim terhadap dirinya. Hanya atas rahmat Tuhan Yang Maha Penyayang yang mampu menghindarkan manusia daripada menzalimi diri mereka sendiri.

Manusia jua mudah terasa dirinya serba cukup. Mudah sahaja terasa bahawa dia tidak perlukan sesiapa untuk membantu urusannya. Kerana dia mempunyai kepandaian, kekuatan fizikal dan kelebihan untuk mengendalikan urusan hariannya. Tetapi, manusia lupa...Di belakang sesuatu urusan, Allah, Tuhan yang Maha Mengetahui sedang memerhatikan apa yang manusia perlakukan. Malah, Dia mengetahui apa yang berada di benak fikiran dan lubuk jiwa insan.

Najwa terkedu.

"Hah! Termenung apa tu!" Najwa disentakkan oleh temannya, Hayati.

"Awak ni, terkejut saya tau!" Najwa mencebik.

"Alah... maaflah... Assalamualaikum" Hayati tersengih sambil beri salam. "Walaikumsalam" jawab Najwa

"Awak dah sampai ke negeri China ke tadi Najwa? Maaflah ganggu kembara angan-angan awak."

Hayati memang terkenal dengan sifat suka menyakat. Walaupun begitu Hayati memang seorang yang sangat tajam pemerhatiannya.

Najwa sengih sahaja. Najwa bertanya kepada Hayati, "Kaifa imanuki? (Apa khabar iman kamu?)

Hayati senyum, "Alhamdulillah. . Alhamdulillah... I hope to stay in Ramadhan all the time!"

Najwa sambung lagi, "Kongsi la tips. How to benefit this Ramadhan!"

Hayati melarikan anak matanya ke kiri dan ke kanan. "Err...Saya tak pandai la bab-bab kasi tips ni. Tapi, saya nak share something.

Tazkirah yang saya dengar from Sheikh masa solat tarawih kat musolla."

"Surah Al Ma'un ayat 4-5."

"Dalam ayat 4...Allah cela orang yang bersolat. Pelik ye, kenapa pula bila kita bersolat, yakni beribadah tetapi kita masih dicela oleh Tuhan kita. Awak rasa-rasanya kenapa, Najwa?" Hayati buat soalan KBKK pula.

"Alah, mana la saya tau... Awak citer je la" Najwa malas nak fikir.

"Okey lah, kalau kita tengok ayat 5, Allah cakap "iaitu orang-orang yang lalai di sekitar solat mereka"...Kalau tengok perkataan Arab 'an solaatihim, bukannya fi solaatihim. Maksudnya, Allah cela orang-orang yang lalai di sekitar solatnya, iaitu di luar solatnya dia lalai. Bukan referring to orang yang lalai within his/her solat. As if, orang tu dah defeat the purpose of solatnya kerana solatnya masih tidak dapat melindungi dirinya daripada berbuat maksiat apabila dia selesai solatnya. Itu sebab Allah cela."

"Macam kita lah, kalau dok dalam halaqah, kita asyik cerita pasal kena amar ma'ruf nahi mungkar...Tapi kalau di luar halaqah, kita tak buat pun apa yang kita perkatakan tu...What is the purpose of the halaqah to begin with?" Hayati berkata.

Najwa tertunduk. "Jazakillah ukhti..."

Hayati berkata, "Awak ni cam ade problem je......"

Najwa melarikan pandangannya, "Hmm... Biasalah, hati kurang sihat."

Hayati berkata lagi, "Alhamdulillah...Awak masih dapat rasakan sama ada hati awak baik ke tidak. Rasulallah pernah cakap, sapa yang dalam saat imannya rendah, tapi masih berpegang kepad Sunnah baginda, sesungguhnya dia telah mendapat petunjuk."

"Iman kita memang ada up-s and –down-s. Tapi di saat down ni, sebenarnya Allah nak kasi clue kepada kita. Betapa sebenarnya seronok dan indah apabila iman kita baik. Allah nak beritahu kita bila kita tengah down ni, bahawa Allah rindu dengar kita merintih dan mengadu kepadanya.Sepertimana ada satu Hadith Qudsi, Allah berfirman, "Wahai malaikat, turunkanlah musibah ke atas hambaKu, kerana aku rindu mendengar dia merintih kepada-Ku."

You know what, Najwa...Asalnya , kita tak perlu pun mengadu kat Allah dosa-dosa yang kita buat atau kejahilan yang kita buat... Sebab Allah memang dah tau pun. Tapi Allah suruh kita doa dan mengharap kepadaNya, supaya kita lebih akrab kepada Allah" Hayati mengusap-usap kepala Najwa.

Najwa menyeka air mata. Ah! Akhirnya basah juga kelopak matanya!

Benarlah, bertafakur lebih baik daripada solat 1000 rakaat. Kini, Najwa terasa qalbunya lebih ringan. Mudah-mudahan langkahnya selepas ini mengharungi saat-saat terakhir Ramadhan, diterima oleh Allah.

* * *

Semoga bermanfaat..

Daripada Abu Hurairah, daripada Rasulullah Sollallahu alaihi wasallam telah bersabda yang ertinya :

Sesiapa yang berpuasa Ramadhan dengan penuh keimanan dan keikhlasan nescaya akan diampunkan segala dosanya yang telah lalu.

-Diriwayat oleh imam Nasai'e, Ibn majah, Ibn Habban dan Baihaqi-